Kalau Benar Cintakan Allah

Tuesday, March 9, 2010 3:58 AM by Asmawati Aziz Munir
Salam sayang buat semua mujahid dan mujahidah yang diredhai Allah, saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang mana, kadang kala kita lupa untuk muhasabah tentang diri kita.Insya Allah kita sama-sama menghayati artikel ini dan perbaiki amalan kita.



    Lidah menyebut kalimah Allah, lalu hati merasakan kebesaran dan keagungan-Nya dan tindakan menyusul apabila kita selaraskan segala perbuatan dengan hukum-hakam-Nya. Itulah zikir yang hakiki. Kesannya sepadu. Ia akan memberi ketenangan dan kekuatan.
    Namun apabila Allah dilupakan, umat akan kurang menyebut nama-Nya lagi. Ketika itu hati-hati pun lalai daripada merasakan kebesaran dan keagungan-Nya. Akibatnya hukum-hakam diabaikan dalam tindakan dan perbuatan. Apabila ini terjadi jangan ditangisi jika Allah "lupakan" kita.
    Allah hanya menjadi pembela kepada orang yang bertakwa. Orang yang bertakwa adalah orang yang takut dan banyak mengingati-Nya dengan lidah, hati dan perbuatan. Menjadi seorang Muslim sahaja (bukan Muttaqin), tidak melayakkan kita mendapat jaminan bantuan daripada-Nya. Siapakah kita, Muttaqin atau hanya Muslim?


   Muslim, lebih-lebih lagi Muslim yang fasiq, kurang berzikir malah ada yang tidak berzikir langsung. Apakah Allah akan mengingati jika kita melupakan-Nya? Lalu terbiarlah kita dihina, dizalimi dan diperkotak-katikkan oleh musuh tanpa dapat pembelaan.


Bimbang Dosa


     Sayidina Umar pernah mengingatkan, bahawa dia lebih bimbangkan dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam berbanding kekuatan dan perancangan musuh. Dosa-dosa akan menghalang daripada datangnya bantuan Allah kepada kita. Kenapa kita melakukan dosa? Jawabnya, kerana kita lupakan Allah. Lupa zikir kepada-Nya. Justeru, untuk mendapat kekuatan, elakkan dosa. Untuk mengelakkan dosa sentiasalah mengingati Allah.
    Ya, masakan orang yang sentiasa ingatkan Allah tergamak bergelumang dengan dosa? Jika terlanjur sedikit pun mereka segera bertaubat. Orang yang beginilah akan mendapat bantuan Allah dalam apa yang mereka usahakan dan perjuangkan. Mereka disokong oleh kawan dan dihormati oleh lawan. Belum pun bertempik, hanya berbisik, orang akan akur dan tunduk.


When Allah is your "friend", who is your enemy?


   Apabila Allah akrab dengan kita, siapakah yang berani memusuhi kita? King Richard yang berhati singa itu pun tunduk kepada Sultan Salehuddin al-Ayubi. Mengapa? Apakah hanya kerana kekuatan Salehuddin? Tidak, tetapi kerana akhlak dan keperibadiannya yang ditempa dengan zikrullah. Hasilnya, sifat pemaaf, kasih sayang dan prihatinnya, tidak terbatas. Merentas sempadan bangsa, negara dan agama.
    Musuh tidak terlalu laju, tetapi orang Islam yang terlalu perlahan. Kita seharusnya ke depan dengan roh cinta dan kasih sayang. Dengan cinta kita berdakwah, berhujah dan menjelaskan dengan penuh hemah dan hikmah tanpa dibauri oleh kebencian dan prasangka.
    Dengan cinta kita tidak hanya menyebut nama-Nya, mengingati-Nya dan mendaulatkan hukum-hakam-Nya dalam diri tetapi kita akan kembangkan sayap cinta itu ke dalam rumahtangga, organisasi, masyarakat dan negara.
    Kalau benar cintakan Allah, cintailah diri dan umat ini dengan banyak mengingati-Nya. Bangun seawal subuh, bersih dan sucikan diri, lalu solatlah untuk mengingati-Nya, kemudian, bertebaranlah di muka bumi untuk mencari rezeki yang halal dengan meninggalkan segala bentuk rasuah, riba dan penyelewengan.
    Atur keluarga mengikut syariat, jauhkan pendedahan aurat. Perangi pergaulan bebas, racun hedonisme dan fesyen bohemian dalam kehidupan diri dan remaja kita. Pacu kemajuan ekonomi, tetapi jangan lupakan Ilahi. Bersiasahlah tetapi jauhi fitnah dan kepentingan diri. Ingat Allah! Jaga halal dan haram dalam setiap perilaku dan perbuatan.
    Kalau benar cintakan Allah....ingatlah, "Cinta itu bukan kata-kata, love is a verb. Bangkitlah dengan kecintaan bukan dengan satu kebencian. Jangan marahkan orang yang tidak cinta...jika kita sendiri tidak mencintai.
     Marahlah diri kita dahulu, sebelum marahkan mereka. Tidak malukah kita kepada Allah, justeru kita demikian...bererti cinta kita hanya kata-kata? Hanya pura-pura?


>Artikel ini saya ambil dari majalah solusi, sengaja ingin saya kongsikan ilmu ini supaya kita muhasabah diri kita, saya juga masih lemah dan tercari-cari tentang cinta dan ilmu Allah..sama-samalah kita perbaiki diri kita,wallahua'lam. 

2 Response to "Kalau Benar Cintakan Allah"

  1. Wanie... Says:

    subhanallah..insyaallah..marilah kte sme2 letakkan hati kta bersama Allah di mana jua kita berada...

  2. NurAsh Says:

    cinta itu apa? masakan Allah anugerahkan cinta andai bukan digunakan utk manusia berkasih sayang? cinta itu apa? masakan Allah anugerahkan 1/10 dari cintaNya andai bukan untuk manusia menghargai apa yg diberikan. Lalu, cinta itu kemana tujunya? Pastilah cinta kepada Allah.. (^_^)

Post a Comment