Kenapa malu?

Saturday, March 27, 2010 6:48 PM by Asmawati Aziz Munir
Salam kasih sayang buat semua pejuang-pejuang muda..
Apabila saya termenung, kadangkala saya terfikir, mengapa malu? Mengapa malu untuk bertanya? Mengapa malu untuk menuntut ilmu? Virus ini menjadi penyakit kepada pelajar-pelajar kita pada hari ini, khususnya pelajar berbangsa Melayu, waima di IPT juga masih malu dan segan untuk bertanya tentang kemusykilan sesuatu perkara. Kadangkala saya juga malu untuk bertanya sesuatu, tetapi jika kita tidak bertanya, sampai bila kita hendak berada ditakuk yang lama? Bila pula kita hendak mendapatkan maklumat yang sahih?


Maksud Hadith :

Daripada Abi Waaqid Allaithy R.A, sesungguhnya Rasulullah SAW ketika mana Baginda sedang duduk di dalam masjid bersama-sama dengan kumpulan manusia (para sahabatnya dalam majlis ilmu) , tiba-tiba datang tiga orang, lalu dua orang terus menyertai majlis Rasulullah SAW dan seorang lagi pergi begitu sahaja(tanpa menyertai).Lalu kedua-dua orang itu berdiri (dekat halaqah), maka salah seorang daripada kedua itu melihat ada ruang kosong di dalam halaqah ilmu tersebut lalu dia duduk di situ, manakala yang keduanya hanya duduk jauh di belakang mereka dan manakala yang ketiga pula terus memalingkan punggung dan beredar pergi.
 Maka apabila Rasulullah SAW selesai ( memberi pengajian), lalu Baginda bersabda : Mahukah kalian aku khabarkan tentang hal orang bertiga itu? Maka yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu ( tidak bersungguh-sungguh), maka Allah juga malu daripadanya(tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya)

Hadith riwayat Al-Bukhari no: 64 , dengan lafaz daripadanya.

Keterangan ringkas:-


Orang yang hendak mendapatkan ilmu itu mesti bersungguh-sungguh memberikan perhatian kepada ilmu. Hendaklah dia berusaha semampu mungkin dengan daya yang dimilikinya untuk mendapatkan ilmu. Jangan malu untuk belajar dan jangan malas. Seseorang itu hendaklah mempunyai hati yang cekal dan tabah. Sentiasa menggunakan kesempatan yang ada untuk menambahkan ilmu. Tidak perlu disuruh untuk belajar tetapi dia memang sentiasa siap sedia untuk belajar menimba sebanyak mungkin ilmu apabila ada kesempatan. Maka dengan kerajinan dan perhatian yang tinggi itu dia akan dapat mengumpulkan ilmu sebanyak mungkin.

Sumber: I luv Islam

1 Response to "Kenapa malu?"

  1. M.SYAMSUL ANAM BIN QAMARUL HUDA Says:

    bak pepatah dalam lirik lagu xpdc .. malu bertanya kawan sesat cari jalan pulang .. jdi .. sifat malu perlu ad dlm dri seseorng .. tetapi .. mstilah kena pde tempatnyer ..

Post a Comment